Jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi tampak kecewa dengan kekalahan di tangan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, Selangor cemerlang memimpin permainan hasil tandukan pertahanan, Richmond Ankrah pada minit ke-13.
Hasrat Gergasi Merah untuk meraih 3 mata tidak kesampaian apabila pemain gantian, Mio Tsuneyasu meledak dua jaringan buat Negeri Sembilan merekodkan kemenangan 2-1 di laman sendiri.
Menurut Katsuhito Kinoshi, pasukan Negeri Sembilan telah menghukum anak didiknya meskipun Selangor mempunyai kelebihan hasil jaringan di awal permainan oleh Richmond Ankrah.
Beberapa peluang yang tidak disudahkan dengan sempurna juga mengakibatkan Selangor menjadi mangsa kebangkitan pasukan tuan rumah itu di hadapan lebih 25,000 penonton.
”Kami dihukum kerana memiliki banyak peluang selepas menjaringkan gol (tetapi tidak menyudahkan),” ulas Katsuhito Kinoshi.
Tambah Kinoshi, kekalahan 2-1 ini merupakan aksi terburuk yang pernah dilaluinya sepanjang hidup selepas kegagalan pasukan Selangor meraih jaringan tambahan selain dibolosi di minit akhir.
”Ini adalah aksi terburuk sepanjang hidup saya,” jelas beliau.
”Kita bermain baik tetapi keputusan dan kita gagal jaringkan gol kedua.”
”Kita juga dibolosi minit akhir seperti itu, jadi bagi saya ini perlawanan terburuk.”
”Saya tidak mahu jadikan (situasi) lebih teruk, maka kami mahu pandang ke depan dan fokus untuk aksi seterusnya.”
Kekalahan ini meletakkan Negeri Sembilan di kedudukan ke-6 Liga Super manakala Selangor pula berada di tangga ke-7 dengan kedua-dua pasukan dipisahkan perbezaan jaringan.