Kaveen Waran Raih Debut Bersama Olympic Kingsway
MakanBola
FA Malaysia

Penjaga gol muda Malaysia, Kaveen Waran meraih penampilan pertama bersama skuad senior kelab Australia, Olympic Kingsway.

Ini selepas akaun Harimau Abroad melaporkan penjaga gol muda negara itu dipilih beraksi sebagai penjaga gol utama untuk aksi pusingan keenam kelayakan Australia Cup 2025.

Kingsway yang beraksi menentang Subiaco cemerlang meraih kemenangan 3-0. Reece Kral, Jacob Evans dan Luke Hewings masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Lebih manis, Kaveen turut memastikan beliau merekodkan rekod tanpa bolos dalam penampilan senior pertamanya.

Kingsway bakal berentap dengan Balcatta Etna untuk merebut slot pusingan pertama Australia Cup. Satu lagi slot bakal menjadi rebutan Stirling Macedonia dan Inglewood United.

Persembahan cemerlang Kaveen dijangka bukan saja menarik perhatian jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski. Malah, ini juga berita baik buat pengendali Malaysia B-23, Nafuzi Zain.

Ini kerana kehadiran Kaveen dijangka menambah pilihan bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu untuk slot penjaga gol utama Malaysia B-23.

Sebelum ini, Kaveen pernah beraksi untuk skuad Malaysia B-16 yang dibimbing Javier Jorda Ribera pada tahun 2024.