KBS Bakal Laksana Protokol Baharu Pemain Naturalisasi
MakanBola
Hannah Yeoh

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal melaksanakan protokol baharu membabitkan atlet naturalisasi.

Langkah itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Parlimen pada 20 November lalu. Beliau memaklumkan langkah ini sebagai respon kepada isu membabitkan tujuh pemain negara.

Isu FAM dan tujuh pemain negara hangat diperkatakan selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mendedahkan sebab mereka menolak rayuan yang dikemukakan semua pihak terlibat.

Dokumen tersebut bukan saja mendedahkan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain terbabit. Malah, FAM turut dibidas kerana gagal mengenal pasti dalang di sebalik perbuatan tersebut.

Hannah melihat dengan pelaksanaan protokol ini, ini diharap mengembalikan semula keyakinan orang awam berhubung isu atlet naturalisasi.

“Untuk memastikan pada masa akan datang, sebarang permohonan naturalisasi atlet ataupun pemain yang dicadangkan oleh persatuan sukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dirujuk dahulu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana melalui program pembangunan, inisiatif akar umbi telah dibelanjakan untuk pastikan ada atlet-atlet pembangunan dilahirkan.

“Jadi, MSN lebih tahu mengenai keperluan sama ada pasukan ini memerlukan pemain warisan atau tidak dan semua ini kalau boleh saya nak cadangkan kepada KDN untuk pastikan mendapat input daripada MSN,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Hannah turut memaklumkan pihaknya tidak menghalang mana-mana kelab bola sepak yang mahu mendapatkan pemain naturalisasi.

Pada masa sama, beliau berharap semua pihak mengikut semua proses yang digariskan FIFA agar perkara ini tidak berulang pada masa akan datang.

“Pihak KBS ataupun MSN tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang usaha mereka jika mereka mahu kerana FIFA membenarkan pemain warisan.

“Jadi, kalau mereka menginginkan pemain warisan, mereka kena mengikuti proses yang elok untuk pastikan tidak ada lagi isu kontroversi seperti ini,” ujarnya.

Hannah turut memaklumkan FAM tidak akan menerima dana tambahan sehingga isu membabitkan tujuh pemain dan penambahbaikan badan induk itu selesai.