Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan tiada dana tambahan akan disalurkan kepada FAM sehingga isu membabitkan tujuh pemain dan penambahbaikan badan induk itu selesai.
Hal ini dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh apabila ditanya tentang peruntukan dana yang diterima FAM.
Sebelum ini, FAM menerima dana berjumlah RM15 juta daripada kerajaan untuk menyokong persiapan skuad kebangsaan dan Malaysia B-23 ke Piala Asia.
Susulan isu hukuman FIFA membabitkan FAM dan tujuh pemain negara, Hannah menyarankan tiada dana tambahan akan disalurkan kepada badan induk itu.
Ini kerana keutamaan dana tersebut ialah membantu persiapan skuad kebangsaan. Pada masa sama, ini dilihat sebagai dorongan FAM melaksanakan penambahbaikan terutama dari segi tadbir urus.
“Buat masa ini, saya hanya boleh mencadangkan supaya tiada lagi dana tambahan disalurkan,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Fokus dahulu kepada membantu pasukan kebangsaan dan memastikan penambahbaikan dijalankan.”
Hannah turut memaklumkan protokol semakan baharu bagi atlet naturalisasi bakal dilaksanakan. Langkah ini bertujuan mengembalikan keyakinan orang awam selepas isu yang membelenggu FAM.
Protokol ini menyaksikan mana-mana persatuan yang ingin membawa atlet naturalisasi perlu merujuk kepada Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu.
Setelah MSN berpuas hati calon naturalisasi yang dikemukakan tidak memiliki sebarang isu, barulah nama calon dibawa ke Kementerian Dalam Negeri (KDN).