KBS Sedia Kerjasama Dengan Jawatankuasa Bebas FAM
MakanBola
Hannah Yeoh

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia bekerjasama dengan jawatankuasa siasatan bebas FAM yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif.

Perkara ini dizahirkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi satu kenyataan yang disiarkan di platform rasmi beliau.

Kerjasama ini akan dibuat menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS). Hasil siasatan akan membawa kepada langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan FAM.

“KBS melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Siasatan Khas Bebas yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.

“Hasil siasatan ini akan menjadi asas kepada pelaksanaan langkah-langkah pembetulan serta penambahbaikan yang perlu dipatuhi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” katanya.

Hannah turut memaklumkan KBS mengambil langkah berhati-hati kerana tidak mahu dianggap sebagai campur tangan kerajaan ke atas FAM.

Ini kerana jika itu berlaku, FAM berpotensi digantung FIFA. Hannah tidak mahu disebabkan hal itu, ini akan menjejaskan ekosistem bola sepak negara.

“Kerajaan perlu berhati-hati kerana sebarang bentuk campur tangan boleh menyebabkan FAM digantung oleh FIFA.

“Penggantungan seperti itu bukan sahaja memberi kesan kepada pasukan kebangsaan utama, tetapi turut melibatkan semua pasukan bawah umur serta pihak lain seperti Malaysian Football League (MFL), Amateur Football League (AFL) dan kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia.

“Tindakan ini akan menjejaskan keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan,” ujarnya.

Selain Tun Raus, jawatankuasa ini turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Kamaludin Md Said, bekas Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr Yusof Ismail dan peguam kanan, Datuk Thavalingam C. Thavarajah.

Thavalingam turut menggalas peranan sebagai setiausaha jawatankuasa tersebut sepanjang tempoh jawatankuasa bebas mengadakan siasatan.