Kementerian Belia dan Sukan (KBS) digesa tidak campur tangan dalam kemelut FAM-FIFA biarpun pemalsuan dokumen 7 pemain warisan turut dikaitkan dengan agensi kerajaan lain, kerana peraturan antarabangsa menuntut semua urusan tatatertib bola sepak kekal bebas daripada pengaruh politik.
FIFA menetapkan tindakan terhadap FAM dan pemain berkenaan adalah proses disiplin dalaman badan induk itu, justeru sebarang campur tangan kerajaan, walaupun atas alasan penyelarasan antara agensi, tetap dianggap melanggar prinsip autonomi bola sepak.
Larangan itu sejajar dengan amaran FIFA bahawa mana-mana negara yang membenarkan pengaruh kerajaan dalam keputusan bola sepak boleh dikenakan penggantungan serta-merta, sekali gus menjejaskan penyertaan skuad kebangsaan dalam semua kejohanan rasmi.
Dalam kes melibatkan pemalsuan dokumen, perkara itu tertakluk di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, yang hanya boleh ditangani melalui sistem perundangan sukan antarabangsa dan bukannya mekanisme pentadbiran kerajaan.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Christopher Raj berkata, KBS perlu berhati-hati dalam menangani isu FAM-FIFA ini kerana campur tangan secara langsung akan mendatangkan padah kepada bola sepak Malaysia.
“Lebih baik Menteri mahupun KBS tidak campur tangan kerana jika FIFA mengesan ada campur tangan, FAM boleh digantung dan ia akan menjejaskan seluruh entiti yang terkait di bawah badan induk sukan itu.
“Kita tidak mahu berlaku penggantungan kerana ia menjejaskan anak muda, remaja tidak boleh bermain bola sepak termasuk kategori bawah umur, skuad wanita juga.
“Tidak boleh ada arahan, permintaan membuat keputusan atau cadangan kerana banyak contoh negara sudah menerima hukuman penggantungan termasuk Bangladesh pada 2017, setelah seorang menteri meminta exco persatuan bola sepak mereka meletak jawatan, malah Pakistan juga menerima padah sama pada 2017 sehingga 2024.”