Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menunggu keputusan rayuan FIFA berhubung rayuan FAM dan tujuh pemain negara sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Perkara ini dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh apabila ditanya langkah yang akan diambil pihak kementerian selepas fasa rayuan selesai.
Hannah memaklumkan KBS akan bekerjasama dengan FAM dan Pesuruhjaya Sukan untuk memantapkan segala aspek yang dibangkitkan dalam laporan FIFA sebelumnya.
“Harapan saya selepas keputusan rayuan keluar, saya akan bekerjasama dengan FAM dan Pesuruhjaya Sukan untuk melihat penambahbaikan yang patut dilakukan.
“Tetapi seperti yang saya nyatakan, kita tunggu keputusan dulu kemudian kita bergerak,” katanya kepada Nadi Arena.
Hannah turut melihat langkah FAM membuat rayuan sebagai penting demi kepentingan bola sepak negara terutama para pemain.
“Kita kena ingat pasukan kebangsaan bukan hanya tujuh pemain tersebut. Tetapi kita ada lagi atlet bola sepak yang lain yang bergantung kepada pimpinan bola sepak.
“(Kita berharap pimpinan bola sepak) supaya jadi lebih baik. Dan supaya atlet-atlet lain macam Faisal (Halim) dan Arif Aiman (Hanapi) masih bersinar.
“Kalau kita sudah putus asa seperti ini saja, habislah pemain yang lain,” ujarnya. Keputusan rayuan FAM bakal diketahui pada 30 Oktober.