KDN Tegaskan Pengesahan Kewarganegaraan Pemain Malaysia Lalui Proses Teliti
MakanBola
Saifuddin Nasution

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan proses pengesahan kewarganegaraan pemain Malaysia dibuat dengan penuh teliti.

Perkara ini ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail apabila diminta mengulas tentang isu FAM dan tujuh pemain warisan negara yang dihukum FIFA.

Saifuddin memaklumkan segala proses membabitkan status kewarganegaraan semua pemain terbabit dibuat mengikut laras undang-undang.

“Seperti yang dilaporkan oleh media adalah yang terkait dengan status kewarganegaraan pemain (Harimau Malaya) yang mendapat status kewarganegaraan. Sudah tentu itu di bawah bidang kuasa KDN.

“Proses pemberian (status) warganegara ini satu proses yang sangat teliti. Kesemua dokumen dikemukakan perlu verifikasi. kita ambil biometrik, temubual, sebab itu ambil masa begitu lama.

“Kita (sudah) melakukan proses mengikut peraturan tertib dan peruntukan undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas meninjau pelaksanaan Program RON95 (BUDI95) baru-baru ini.

Saifuddin turut mengingatkan perkara ini terpakai di bawah Perkara 19, Perlembagaan Persekutuan. Perkara 19 merujuk kepada pemohon yang mempunyai salasilah, keturunan atau memiliki pasangan yang berasal dari negara ini.