Keadaan Padang Tak Jejas Rentak Bangkok United
MakanBola
True Bangkok United

Jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan mengakui kelebihan dua gol membantu pasukan itu menyesuaikan diri dengan keadaan padang Stadium MBPJ.

Sebelum ini, Totchtawan menyatakan kebimbangan pasukannya beradaptasi dengan padang rumput Cowgrass yang digunakan di Stadium MBPJ.

Keadaan padang tidak menghalang Bangkok United meraih kemenangan 4-2 ke atas tuan rumah, Selangor FC dalam aksi pertama Kumpulan G.

Apabila diminta mengulas tentang perkara itu, Totchtawan mengakui pada awalnya, anak buahnya bergelut bermain di atas padang tersebut.

Kelebihan dua gol dan Selangor dipaksa bermain dengan 10 pemain membantu Bangkok United menyesuaikan diri dan bermain mengikut rentak bersesuaian.

“Sebenarnya ia tidak berlaku sepanjang perlawanan. Tempoh 20 hingga 30 minit (pertama), kita masih mencari keseimbangan dan bertahan bila menentang Selangor.

“Tetapi selepas melihat semua pemain, mereka mampu beradaptasi ditambah dengan kelebihan dua gol. Selain itu, kita mengawal permainan dengan Selangor beraksi dengan 10 pemain dan kita memiliki kelebihan dua gol.

“Itu memberikan kita kawalan (dalam perlawanan) dan memastikan semuanya terkawal,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Bangkok United mendahului Kumpulan G dengan tiga mata. Ini selepas Persib Bandung dan Lion City Sailors (LCS) terikat 1-1 dalam satu lagi aksi kumpulan.

Selepas ini, Bangkok United akan menentang Persib pada 1 Oktober. Selangor pula akan bertandang ke Singapura untuk menentang LCSpada hari yang sama.