Jurulatih Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil melihat dua aksi persahabatan yang diharungi dalam 48 jam sebagai peluang menguji tahap kecergasan dan adaptasi taktikal para pemain.
Selepas menentang skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) pada 11 Julai lalu, Sang Rusa kini berdepan pendatang baru Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) pada 12 Julai.
Meskipun berdepan dua aksi mencabar dalam tempoh dua hari, Nidzam berpuas hati dengan komitmen semua pemain.
Pada masa sama, masih ada ruang penambahbaikan buat anak buahnya sebelum melalui baki aksi pra-musim yang diatur selepas ini.
“Kami berpuas hati dengan komitmen pemain dalam perlawanan malam tadi. Mereka memberikan aksi yang positif, hasil dari sesi latihan selama empat minggu.
“Keserasian dan minit permainan kepada semua pemain menjadi fokus utama kami sepanjang kempen pra-musim. Namun masih ada beberapa aspek perlu diperkemaskan lagi sebelum saingan Liga Malaysia bermula.
“Kita ada satu lagi perlawanan persahabatan menentang Kelantan Red Warrior FC dalam tempoh kurang dari 48 jam. Fokus utama kami masih kepada kecergasan dan adaptasi taktikal pasukan,” katanya.
Sang Rusa dijangka menampilkan tonggak import terbaru dari Jepun, Mio Tsuneyasu untuk aksi berkenaan. Kelantan RW pula dijangka mengetengahkan bekas pemain remaja Manchester United, Otis Khan.
Penyokong yang mahu menonton aksi Kelantan RW dan Negeri Sembilan boleh mendapatkan tiket fizikal di Kaunter A Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dibenarkan masuk percuma.