Terengganu FC terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh jenama dan pengaruh kelab apabila melancarkan kedai cenderahati rasmi terbaharu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, sekali gus mencipta satu lagi pencapaian penting dalam pengembangan komersial kelab.
Berlokasi strategik di Tingkat 1 lapangan terbang tersebut, kedai rasmi ini menampilkan pelbagai barangan eksklusif Terengganu FC termasuk jersi, topi, mafla, aksesori serta cenderamata edisi khas yang direka khusus untuk memenuhi citarasa penyokong setia, pelawat dan pelancong.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai berkata, pembukaan kedai rasmi di lapangan terbang merupakan langkah strategik yang signifikan dalam meningkatkan keterlihatan jenama kelab serta memudahkan peminat mendapatkan barangan rasmi
.“Lapangan terbang merupakan pintu masuk utama ke negeri Terengganu. Pemilihan lokasi ini memberi peluang luas kepada Terengganu FC untuk mendekati penyokong serta pelancong dari dalam dan luar negara, di samping menyumbang secara langsung kepada penjanaan pendapatan kelab,” jelas beliau.
Majlis pelancaran kedai cenderahati rasmi ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Ustaz Haji Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB).
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan pemain serta pegawai Terengganu FC.Kedai cenderahati rasmi ini beroperasi setiap hari bermula jam 7 pagi dan turut menyediakan kemudahan pembelian secara dalam talian serta pilihan pengambilan di lapangan terbang, bagi memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih mudah dan selesa kepada pelanggan.
Pelancaran kedai rasmi ini selari dengan aspirasi Terengganu FC untuk memperluaskan jangkauan komersial kelab, sekali gus mengukuhkan hubungan erat bersama penyokong di peringkat tempatan dan antarabangsa.