Ini kedudukan akhir pasukan Malaysia setelah mengakhir aksi di peringkat kumpulan Piala Mandiri ASEAN B-23.
Pada Isnin, skuad Malaysia B-23 kendalian Nafuzi Zain turun dalam aksi penting berdepan pasukan tuan rumah, Indonesia dengan membawa misi penting bagi meraih 3 mata untuk ke separuh akhir.
Walau bagaimanapun, hajat pasukan muda Malaysia ini tidak kesampaian apabila hanya terikat seri tanpa jaringan dalam pertemuan di hadapan ribuan penyokong setia Sang Garuda ini.
Indonesia tampak menguasai sebahagian besar permainan ini tatkala skuad Malaysia B-23 pula lebih gemar menyerap asakan dan melancarkan serangan balas pantas ke kawasan lawan.
Permainan lebih mengujakan di babak kedua apabila kedua-dua negara serumpun ini mula saling mengasak kubu lawan namun keputusan 0-0 ini kekal sehingga tamat 90 minit aksi.
Keputusan seri ini sudah cukup bagi meletakkan Indonesia ke separuh akhir Piala Mandiri ASEAN B-23 setelah mengumpul 7 mata daripada 3 perlawanan ketika di peringkat kumpulan A ini.
Manakala, skuad muda Malaysia pula terpaksa akur berada di tangga ke-3 kumpulan A dengan meraih 4 mata setelah satu kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan dicatat oleh anak didik Nafuzi Zain.
Tempat kedua kini dihuni oleh Filipina dengan 6 mata namun status Young Azkals ke separuh akhir bakal ditentukan oleh dua lagi aksi di kumpulan B dan C yang akan diadakan pada Selasa.
Brunei berada di tangga tercorot kumpulan A selepas tewas kesemua 3 perlawanan yang ditempuhi dengan rekod bolos sebanyak 17 jaringan manakala hanya satu gol yang terhasil.