Selangor terlepas peluang menutup kempen AFC Champions League Two (ACL2) dengan cemerlang selepas bertemu Lion City Sailors.
Pada Rabu, Selangor turun dalam aksi terakhir kumpulan G menentang Lion City Sailors dengan misi memburu 3 mata bagi setidaknya menutup kempen dengan satu kemenangan.
Walau bagaimanapun, hasrat besar Selangor itu sekali lagi tidak kesampaian apabila tumpas 0-1 di tangan jaguh dari Singapura, Lion City Sailors hasil gol tunggal Tsy Ndenge.
Kekalahan tipis tersebut sekaligus mengesahkan tempat Selangor di tangga tercorot kumpulan G dengan sekadar mengumpul satu mata setelah mengharungi 6 perlawanan.
Secara statistik, The Red Giants mencatat satu keputusan seri dan 5 kali kalah dalam saingan kumpulan G ini dengan meledak 7 gol selain dibolosi sebanyak 15 kali oleh 3 kelab lain.
Rekod 7 jaringan itu datangnya daripada 4 gol oleh Chrigor Moraes dan masing-masing satu gol dari Faisal Halim, Aliff Izwan serta satu lagi jaringan sendiri oleh pertahanan Persib Bandung.
15 jaringan yang dilepaskan itu pula menyaksikan pintu gol Selangor antara yang kerap dibolosi lebih-lebih lagi melihat kepada angka dua digit yang direkodkan setelah 6 aksi kali ini.
Kemenangan Lion City Sailors di Stadium MBPJ ini juga tidak dapat mengubah nasib mereka untuk ke pusingan kalah mati selepas akur tewas kepada peraturan Head-To-Head dengan Bangkok United.
Ini sekaligus menyaksikan Bangkok United akan mengiringi Persib Bandung dari Indonesia selaku juara kumpulan G ke pusingan kalah mati bersama 14 lagi wakil dari kumpulan lain.