Kegusaran Pemain Bangkok United Kepada JDT Jadi Nyata
MakanBola
Johor Southern Tigers

Rasa gusar yang dihadapi pemain Bangkok United sebelum berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya bertukar realiti.

Pada Khamis, JDT turun melayani kunjungan Bangkok United dalam perlawanan kedua Asean Club Championship Shopee Cup di Stadium Sultan Ibrahim dengan misi mengutip 3 mata penuh.

Ketika sesi sidang media sebelum aksi pada Rabu lalu, Kyoga Nakamura sempat ditanya tentang pemain JDT yang menjadi kegusaran dan perlu diawasi menjelang perlawanan tersebut.

Pemain naturalisasi Singapura dengan lantas menjawab Joao Figueiredo yang menyarung jersi nombor 25 di JDT akan jadi ancaman selepas mereka bertemu pada aksi persahabatan di Bukit Jalil.

“(Pemain) berjersi nombor 25 yang juga pemain Malaysia sebab tempoh hari saya telah berdepan beliau ketika aksi Harimau Malaya menentang Singapura (September lalu).”

”Dia (Joao Figueiredo) pemain yang bagus, jadi saya harus perlu fokus terhadap beliau,” jawab Kyoga Nakamura yang menyertai Bangkok United pada awal musim ini.

Ternyata kegusaran Nakamura itu bertukar menjadi realiti apabila Joao Figueiredo mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-52 yang juga gol kedua buat pasukan JDT.

Figueiredo yang bergandingan bersama Bergson Da Silva di jentera serangan Harimau Selatan mempamer persembahan sepanjang aksi dengan gerakan yang membelah pertahanan Bangkok United.

Selain itu, Bergson turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut selepas cemerlang menjaringkan hatrik di separuh masa kedua untuk memberikan kemenangan 4-0 buat JDT.

Kemenangan ini meletakkan JDT di tangga teratas kumpulan B Shopee Cup dengan mengumpul 6 mata tatkala Bangkok United pula berada di kedudukan tercorot selepas hanya satu aksi.