Satu tragedi menyayat hati menimpa seorang pemain divisyen lima Jerman ketika bercuti di utara Montenegro.
Akhbar Daily Mail melaporkan mangsa, Sebastian Hertner, 34, meninggal dunia selepas terjatuh dari lif kerusi pada ketinggian 70 meter.
Laporan pihak berkuasa menyatakan tragedi itu berlaku apabila kerusi yang membawa Hertner dan isterinya tercabut dari kabel sebelum berlanggar dengan lif kerusi di belakang.
Insiden itu juga menyebabkan isteri Hertner tersepit pada kerusi. Dia mengalami kecederaan patah kaki sebelum dapat dikeluarkan pihak berkuasa.
Tiga lagi pelancong yang menaiki lif kerusi terkandas selama beberapa jam sebelum diselamatkan pihak berkuasa.
Tragedi ini berlaku di resort ski Savin Kuk berhampiran bandar Zabijak. Ia sebahagian daripada kawasan pergunungan Durmitor di utara Montenegro.
Kawasan itu cukup dikenali oleh pelancong sebagai tempat percutian musim sejuk yang menarik di negara tersebut.
Hertner merupakan kapten kelab ETSV Hamburg, sebuah kelab yang beraksi di Oberliga (divisyen kelima Jerman). Dia juga pernah beraksi untuk kelab seperti 1860 Munich, Erzgebirge Aue dan Darmstadt.
Hertner juga pernah mewakili skuad Jerman B-19. Dia pernah beraksi bersama bintang-bintang Die Mannschaft seperti Christoph Kramer dan Felix Kroos.
Susulan itu, pendakwa raya Montenegro melancarkan siasatan ke atas tragedi berkenaan. Kawasan lif kerusi juga ditutup atas faktor keselamatan.