Skuad wanita Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) membuka kempen Kejuaraan Wanita B-16 ASEAN dengan langkah kanan apabila membelasah Timor Leste 6-1.
Malaysia memburu misi layak ke peringkat separuh akhir berada dalam Kumpulan A bersama Timor Leste dan tuan rumah, Indonesia.
Selepas dibelasah Indonesia 6-0 dalam aksi pertama kumpulan pada 20 Ogos lalu, Timor Leste berharap dapat mengelak nasib sama bila bertemu Malaysia.
Malangnya, sangkaan tersebut meleset. Anak buah Leila Chua membuka tirai jaringan menerusi Qistina Fais pada minit ke-16.
Situasi ini memaksa Timor Leste berkubu dalam kawasan mereka untuk mengelak dibolosi pihak lawan. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, gawang Timor Leste akhirnya bocor buat kali kedua menerusi Ummairah Soberi pada minit ke-49.
Nur Laila Syamila A Rahim meledakkan hatrik dengan menyumbat gol pada minit ke-59, 66 dan 67. Timor Leste menyumbat gol saguhati menerusi Leliana Lopes pada minit ke-79.
Gawang Timor Leste bocor buat kali keenam menerusi Putri Mia Alysa Ahmad Zakiyamani pada minit ke-83. Keputusan 6-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Timor Leste tersingkir daripada kejohanan. Malaysia akan menentang Indonesia pada 24 Ogos untuk merebut status juara Kumpulan A.