Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz melihat kekuatan unik yang dimiliki oleh Shanghai Port menjelang aksi AFC Champions League Elite (ACLE).
Aksi ACLE minggu ke-6 menyaksikan perlawanan antara JDT vs Shanghai Port menjadi salah satu pertembungan tumpuan tatkala pasukan Harimau Selatan ingin bangkit dari kekalahan lalu.
Cabaran getir dijangka menanti anak-anak didik Xisco Munoz ini apabila Shanghai Port tiba membawa semangat luar biasa selepas baru sahaja ditabalkan sebagai juara Chinese Super League.
Berdasarkan kaca mata Xisco Munoz selaku jurulatih, aspek kekuatan yang dimiliki oleh Shanghai Port tertumpu kepada tekanan dan intensiti permainan tinggi oleh pemain-pemain mereka.
Kemampuan ini pastinya bakal menjadi senjata mereka untuk mengurangkan masa kawalan bola selain membuatkan setiap pergerakan para pemain JDT terbatas akibat diekori pasukan lawan.
“Antara perkara paling penting yang Shanghai Port miliki ialah tekanan tinggi dan intensiti permainan.”
“Maksud saya, mereka mengikut pemain secara man-to-man di pelbagai kawasan padang dan perkara ini sudah pasti akan mengurangkan masa yang kita ada (untuk mengawal bola),” jelas Xisco Munoz.
“Dalam liga kita, keadaannya sangat berbeza kerana kita mempunyai banyak masa untuk berfikir, membina serangan dan mencipta sesuatu.”
“Esok, mereka akan memberi tekanan awal dan segera cuba mengurangkan masa tersebut kerana mereka sentiasa berada sangat dekat dengan anda.”
Sungguhpun begitu, Munoz tetap bersikap positif menjelang pertemuan pada Selasa melihat kepada persiapan rapi yang dilakukan oleh skuad Harimau Selatan untuk melayani wakil China ini.
“Saya bersikap positif hari ini kerana pasukan kita sangat bagus. Pasukan kita mahu cuba memberikan yang terbaik esok.”
Aksi JDT vs Shanghai Port akan berlangsung pada Selasa, 9 Disember di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula jam 8.15 malam seperti yang telah dijadualkan.