Kelantan DN Ubah Nama Kepada Kelantan The Real Warrior
MakanBola
The Real Warrior

Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) sekali lagi membuat perubahan nama menjelang saingan Liga Super musim 2025/26.

Kelantan DN kini dikenali dengan nama baharu iaitu Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC). Perubahan nama ini mula disedari penyokong menerusi jadual baharu liga musim 2025/26.

Ini disusuli pendedahan yang dibuat wartawan Astro Arena, Fina Nasrom ketika menemu bual bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Fina memaklumkan Annuar bukan saja mempertimbang untuk menggalas peranan sebagai presiden Kelantan TRW. Malah, nama pasukan itu juga diubah daripada Kelantan DN kepada Kelantan TRW.

“Tan Sri Annuar Musa pertimbang jawatan Presiden. Kelantan Darul Naim (KDN) tukar nama, kini Kelantan The Real Warriors FC,” katanya di X.

Perubahan ini turut meliputi platform media sosial pasukan itu. Penyokong Kelantan TRW boleh mengikuti perkembangan pasukan itu di platform Facebook, TikTok dan Instagram The Real Warrior.

Sebelum ini, Kelantan TRW FC hanya mengubah nama jolokan pasukan itu daripada Sang Kijang Emas kepada The Real Warrior.

Pasukan Pantai Timur itu sudah mula mengatur persiapan bagi menghadapi musim 2025/26. Kelantan TRW sudah merekrut dua bekas tonggak Sri Pahang FC, Azwan Aripin dan T. Saravanan.

Pasukan tersebut turut berjaya mendapatkan bekas penolong jurulatih kebangsaan, E. Elavarasan sebagai jurulatih baharu. Elavarasan bakal dibantu bekas pemain import Sarawak, Muamer Salibasic.