Kelantan Red Warrior Terima Surat Tunjuk Sebab FIFA
MakanBola
Kelantan Re Warrior FC

Pendatang baharu Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) telah menerima surat tunjuk sebab daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara ini disahkan Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi. Ini berdasarkan berita yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Pengurusan Kelantan RW menerima surat tersebut kerana FIFA mahu kelab itu membuktikan bahawa mereka entiti berbeza daripada Kelantan FC.

“Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi sahkan KRW telah terima surat tunjuk sebab daripada FIFA.

“KRW difahamkan perlu membuktikan mereka entiti yang berbeza daripada pasukan terdahulu, Kelantan FC yang pernah beraksi dalam saingan Liga Super 2023,” katanya di X.

Kelantan FC pernah beraksi dalam saingan Liga Super musim 2023. Kelab itu turut menggunakan gelaran The Red Warriors ketika kelab itu beraksi dalam liga berkenaan.

Selepas gagal mendapat lesen untuk Liga Super musim 2024/25, Kelantan FC cuba beraksi di saingan Liga A1 Semi-Pro tetapi tidak berhasil. Kelab itu kemudiannya menarik diri daripada saingan liga itu untuk musim 2024/25.

Seandainya FIFA mendapati Kelantan RW dan Kelantan FC ialah entiti sama, pengurusan kelab Pantai Timur itu dijangka berdepan hukuman daripada badan induk itu.

Salah satu bentuk hukuman ialah sekatan perpindahan FIFA. Perkara ini pernah dinyatakan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi satu ciapan di X baru-baru ini.

Ini kerana berdasarkan semakan di pangkalan data FIFA, Kelantan FC masih berdepan sekatan perpindahan. Sekatan perpindahan itu masih berkuatkuasa sejak 24 September 2024.