Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) meneruskan persiapan musim 2025/26 dengan mengikat kelab Thailand, FC Yala 1-1 di Stadium Sultan Muhammad IV.
Aksi ini merupakan persiapan terakhir buat kedua-dua pasukan sebelum masing-masing mengharungi saingan Liga A1 Semi-Pro dan Thai League 3.
Bekas pemain remaja Manchester United, Otis Khan diberi kepercayaan oleh Irfan Bakti Abu Salim sebagai kapten Kelantan RW.
Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-39 menerusi Emmanuel Mbarga. Kelebihan Kelantan RW hanya bertahan selama enam minit apabila Jhonatan Bernando menyamakan kedudukan untuk Yala.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan untuk aksi persahabatan tersebut.
Walau bagaimanapun, keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Meskipun terikat 1-1, Kelantan RW dan Yala berjuang habis-habisan sehingga ke wisel penamat.
Selain Kelantan RW, Yala juga mengadakan aksi persahabatan tertutup dengan Terengganu FC baru-baru ini. Aksi itu berkesudahan dengan kemenangan besar 5-1 buat Peteh.
Kelantan RW akan membuka kempen Liga A1 Semi-Pro dengan menentang UM-Damansara United pada 22 Ogos ini.