Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) sah beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2025/26.
Ini selepas Malaysian Football League (MFL) memaklumkan Kelantan RW dipilih sebagai pengganti Kedah FA untuk saingan berkenaan.
Ini kerana Kedah FA dan satu lagi wakil Liga A1 Semi-Pro, Armed Forces FC memilih menarik diri daripada saingan berprestij itu.
Justeru, slot pasukan ketiga Liga A1 yang beraksi dalam Piala Malaysia diberi kepada Kelantan RW. Perkara ini turut disahkan pengurusan pasukan Pantai Timur itu.
“Alhamdulillah, layak ke Piala Malaysia 2025/26. Percaya kepada diri anda dan penyokong akan percaya kepada anda. Tahniah. Mari kita raikannya,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Mengikut perancangan, perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia dijangka bermula pada 17 Januari 2026. Aksi final pula dijangka akan berlangsung pada bulan Mei.
Pasukan yang gagal mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia akan meneruskan cabaran dalam saingan MFL Challenge Cup 2025/2026.
Selain Kelantan RW, Perak FA dan UM Damansara juga layak ke saingan Piala Malaysia. Undian kejohanan bakal bermula pada 2 Januari 2026.