Pengurusan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) tampil menjelaskan isu sekatan perpindahan FIFA yang dihadapi pasukan itu.
Isu ini timbul apabila Kelantan RW antara dua kelab Malaysia yang dikenakan sekatan FIFA pada 15 Disember lalu.
Susulan itu, pengurusan kelab tampil memaklumkan isu ini berlaku kerana tuntutan membabitkan bekas jurulatih Kelantan FC, Pol Corpas.
Corpas dan peguamnya cuba mengaitkan Kelantan RW dengan pasukan lamanya sekaligus membawa kepada sekatan tersebut.
“Sekatan ini berikutan laporan daripada Pol Corpas dan peguamnya dengan cubaan mengaitkan Kelantan Red Warrior FC dengan bekas kelabnya sekaligus membuat tuntutan menyebabkan FIFA mengambil keputusan menjatuhkan hukuman tersebut.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya keterlibatan dengan mana-mana kelab sebelum ini di mana pada awal musim tempoh hari, kami telah memberi penjelasan rasmi kepada FIFA dan telah diterima sehingga kami boleh mendaftarkan pemain untuk beraksi pada musim ini.
“Isu ini timbul semula selepas kami cuba mendaftarkan pemain import baru sempena perpindahan kedua yang telah dibuka,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Justeru, pengurusan Kelantan RW memohon Corpas agar membawa sebarang isu berbangkit kepada pengurusan kelab lamanya.
Ini kerana pasukan Pantai Timur itu tiada kena-mengena dengan Kelantan FC. Malah, pengurusan kelab hari ini berbeza dengan pengurusan sebelumnya.