Kelantan The Real Warrior bakal membawa masuk seorang lagi bintang Asia Tenggara bagi mengharungi saingan Liga Super musim 2025-2026.
Sebelum ini, skuad tersebut telah merekrut Symen Lyngbo dari negara Filipina. Beliau telah berpindah dari Liga Divisyen 2 Thailand, Nongbua.
The Real Warrior telah membuka kempen pusingan 16 Piala FA dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas pasukan KL City di halaman sendiri.
Hal ini telah disahkan oleh Presiden Kelantan The Real Warrior, Tan Sri Anuar Musa dalam satu kenyataan di Facebook selepas perlawanan di antara Kelantan The Real Warrior menentang KL City.
Menurut Tan Sri Anuar Musa, beliau sangat berpuas hati dengan aksi skuad The Real Warrior dalam aksi pusingan 16 Piala FA.
“Alhamdulillah permainan terus meningkat dan semakin serasi. Petanda keupayaan bola sepak Kelantan mampu bangkit. Tahniah kepada semua The Real Warrior.”
Tambah lagi, beliau mengesahkan bakal membawa masuk seorang lagi pemain bintang dari Asia Tenggara untuk menguatkan pasukan tersebut.
“Insya Allah kita akan membawa masuk seorang lagi pemain kebangsaan Negara Asia Tenggara dan akan bersama pasukan 3 hari lagi. Kita perkuatkan TRW secara berperingkat dan doakan pasukan Kelantan The Real Warrior,” kata Tan Sri Anuar Musa dalam satu kenyataan di laman media sosial.
Kelantan The Real Warrior bakal meneruskan aksi Liga Super dengan menentang Sabah di Stadium Likas pada 23 Ogos 2025.