Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC), Datuk Mohd Irwan Rizal Ali Napiah mendedahkan pasukan itu bakal membangunkan pusat latihan baharu di Ketereh.
Perancangan itu dikongsikan beliau apabila ditanya tentang perancangan jangka panjang Kelantan TRW.
Irwan Rizal memaklumkan lokasi tersebut dipilih memandangkan rumah kelab The Real Warriors juga terletak di Ketereh.
Beliau turut menjangkakan proses pembangunan untuk pusat latihan tersebut akan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan.
“Setakat ini di Ketereh. Alhamdulillah, kita telah bangunkan rumah kelab di Ketereh. Jadi, kalau kita ada sesi penerangan (atau) pertemuan dengan pemain dan pegawai di rumah kelab rasmi kita sendiri,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Jadi, kita bertapak secara perlahan-lahan. (Pembangunan) rumah kelab sudah selesai, alhamdulillah.
“Perancangan seterusnya, tiga (hingga) empat bulan lagi Insya Allah, kita akan akan dapat tapak sendiri dan kita bangunkan dengan kemudahan-kemudahan yang kita rasa perlu dilengkapkan. (Ini) agar para pemain dan para jurulatih dapat jalani latihan dengan lebih menyeluruh dan selesa.”
Sekiranya perancangan ini berjaya direalisasikan, Kelantan TRW bakal mengikut jejak beberapa pasukan Liga Super yang memiliki pusat latihan mereka sendiri.
Antara pasukan tersebut ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC.