Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC) sudah melangsaikan tunggakan gaji tahun 2024 pemain dan staf pasukan itu.
Perkara ini dikongsikan Presiden Kelantan TRW yang baharu, Tan Sri Annuar Musa selepas sah menggalas jawatan tersebut.
Selepas menerima taklimat berhubung situasi semasa yang dihadapi The Real Warrior, beliau memaklumkan tunggakan gaji tahun 2024 pasukan itu sudah selesai.
“Kelab telah selesai melunaskan tunggakan sehingga tahun kewangan yang lalu (iaitu tahun) 2024,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Annuar turut memaklumkan pengurusan Kelantan TRW kini berusaha menyelesaikan tunggakan semasa mereka.
“Usaha sedang dibuat untuk meneruskan pembayaran tunggakan tahun semasa.Saya berpuas hati dengan komitmen kelab menyelesaikan hutang lama mereka,” tambahnya.
Kelantan TRW juga dalam proses menyelesaikan sekatan perpindahan FIFA. Ini membolehkan mereka mendaftarkan ramai pemain baru menjelang musim 2025/26.
Antara pemain yang direkrut The Real Warrior ialah Ifedayo Olusegun, Hein Htet Aung, T. Saravanan, Azwan Aripin dan Simen Lyngbo.