Malaysia meneruskan saingan Kelayakan Piala Asia B-17 2026 dengan begitu bertenaga apabila tidak berdepan masalah bagi membenam Hong Kong pada Isnin.
Malaysia menurunkan Aiman Khaufly di bahagian penjaga gol dan Arrayan Hakeem mengemudi jentera serangan sambil memimpin pasukan.
Sementara itu, Hong Kong membariskan Tang Pui Chun di benteng terakhir dan Tung Ki Lok sebagai ayam tambatan negara tersebut.
Malaysia bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang pasukan Hong Kong namun segala percubaan tersebut berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Hong Kong.
Hong Kong turut melakukan percubaan pada minit ke 21′ menerusi pemain sayap kanan, Ma Lok namun berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Malaysia, Aiman Khaufly.
Malaysia berjaya mendapat peluang keemasan untuk membuka akaun jaringan perlawanan menerusi Arrayan Hakeem pada minit ke 24′ namun percubaan di hadapan gawang pasukan Hong Kong berjaya ditepis oleh penjaga gol negara tersebut, Tang Pui Chun.
Memasuki minit ke 35′ kedudukan masih terikat tanpa jaringan meskipun kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang lawan masing-masing.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua perlawanan kedua-dua pasukan tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol pembukaan aksi.
Malaysia berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 65′ menerusi pemain gantian, Iman Danish sekaligus memberikan kelegaan kepada kem pasukan kebangsaan negara.
Hong Kong yang tersentak dengan jaringan tersebut dilihat melancarkan beberapa serangan balas namun segala percubaan berjaya dipatahkan oleh pertahanan pasukan negara.
Memasuki minit ke 75′ kedudukan masih didahului oleh pasukan kebangsaan Malaysia dengan satu jaringan.
Malaysia terus menerus mengasak kubu pasukan Hong Kong bagi mencari gol tambahan namun ketangkasan penjaga gol negara tersebut harus diberi pujian.
Aksi tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan kebangsaan Malaysia.