Kelayakan Piala Asia B-23: Malaysia Tewas Tipis Kepada Lubnan
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia memulakan aksi Kelayakan Piala Asia B-23 dengan langkah kiri apabila tewas kepada Lubnan pada Rabu.

Saingan kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dibuka dengan kemenangan pasukan Lubnan 1-0 ke atas Malaysia dalam aksi yang berlangsung sengit di Stadium Thammasat.

Kesebelasan utama Malaysia diketuai oleh Ubaidullah Samsul di bek tengah bersama Aysar Hadi dan Alif Ahmad sementara Mahmoud Zbib memimpin barisan pemain pasukan Lubnan.

Skuad muda negara terlebih dahulu menguji gawang Lubnan menerusi sepakan bebas Aliff Izwan yang ditepis penjaga gol dan rembatan susulan Fergus Tierney pula dinafikan Anthony Maasry.

Lubnan sempat mengasak kubu Malaysia namun sepakan lipat oleh Ali Kassas berjaya ditangkap kemas oleh Zulhimi Saarani untuk memastikan kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Penguasaan bola kekal milik pasukan negara di babak yang kedua dengan Fergus Tierney miliki peluang untuk meledak jaringan namun sepakan penyerang Sabah ini dihalang oleh bek lawan.

Jaringan yang dicari akhirnya menjelma pada minit ke-83 apabila rembatan dari dalam kotak penalti oleh Ali El Fadl berjaya menewaskan penjaga gol Malaysia B-23, Zulhilmi Saarani.

Aksi di Stadium Thammasat berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Lubnan.

Perlawanan kedua kumpulan F dijadualkan pada Sabtu, 6 September dengan Malaysia akan turun bertemu Mongolia manakala Lubnan bakal berdepan tuan rumah, Thailand.