Bekas jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel bakal mewarnai Liga Malaysia (Liga M) untuk musim 2025/26.
Ini selepas kelibat jurulatih Perancis berusia 52 tahun itu dikesan bersama Selangor FC II yang menyertai Soccer7sSeries di Singapura baru-baru ini.
Kelibat Gamel disedari seorang penyokong Selangor bernama Danial Mazalan. “Hai, Christophe Gamel. Mohon semua jangan lalai,” katanya di X.
Gamel ketika ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan. Ini selepas beliau memilih meninggalkan kedudukannya sebagai penolong jurulatih Macarthur FC pada Jun lalu.
Susulan itu, The Bulls membawa masuk bekas pemain pertahanan Blackburn Rovers, Bruno Berner sebagai pembantu baharu Mile Sterjovski.
Selain Macarthur dan Sri Pahang, Gamel juga pernah menjadi pembantu Philippe Troussier semasa beliau melatih Vietnam pada 2023.
Beliau juga pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan Fiji dan kelab Belgium, KV Roeselare. Kehadiran Gamel dijangka mencetuskan persoalan tentang status jurulatih sebelumnya, Abdi Hassan.
Abdi membantu Selangor II bergelar naib juara Piala MFL musim 2024/25. Beliau turut membantu mengasah bakat pemain-pemain muda seperti Haykal Danish Mohd Haizon, Aiman Hakimi Othman dan Muhammad Abu Khalil.