Kemahiran teknikal yang dimiliki bintang Harimau Malaya, Imanol Machuca terus menjadi bualan di Argentina.
Terbaru, nama pemain sayap berusia 25 tahun itu kembali menjadi sebutan apabila berada dalam kelompok 10 teratas dari segi gelecekan untuk perlawanan keempat liga Argentina.
Fakta tersebut dikongsikan Harimau Abroad menerusi satu hantaran di X. Gelecekan di sini merujuk kepada keupayaan pemain menewaskan pemain lain menerusi satu lawan satu.
Machuca menduduki tempat keempat selepas berjaya menewaskan lawannya sebanyak lapan kali. Beliau diekori pemain sayap Colombia, Duvan Vergara yang turut merekodkan lapan gelecekan.
Menariknya, Machuca berkongsi carta dengan beberapa pemain yang pernah mewarnai arena bola sepak Eropah. Antaranya ialah Eduardo Salvio dan Franco Jara.
Salvio yang pernah mewakili Atletico Madrid dan Benfica di tangga ketiga dengan sembilan gelecekan. Jara pula yang pernah mewakili Benfica dan Olympiakos pula di tangga ke-10 dengan tujuh gelecekan.
Kemahiran teknikal hebat yang dimiliki Machuca dijangka ditagih Velez menjelang aksi liga seterusnya menentang Independiente pada 17 Ogos.