Kemboja Tarik Diri Semua Sukan Di Sukan SEA 2025
UltraSukan
NOC Cambodia

Kemboja mengambil langkah menarik diri daripada semua acara Sukan SEA 2025.

Khmer Times melaporkan keputusan itu dibuat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja (NOCC) demi menjaga keselamatan semua atlet dan pegawai negara itu.

Selain faktor keselamatan, NOCC juga turut mempertimbang faktor keluarga atlet yang bimbang tentang keselamatan ahli keluarga mereka.

Semua faktor ini dinyatakan dalam surat NOCC kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Dato’ Seri Chaiyapak Siriwat yang bertarikh 10 Disember.

“Disebabkan kebimbangan yang serius dan permohonan daripada keluarga atlet kita yang mahu saudara mara mereka segera pulang, NOCC perlu menarik diri semua delegasi kita dan mengatur kepulangan segera ke Kemboja atas sebab keselamatan,” kata Setiausaha Agung NOCC, Vath Chamroeun.

Chamroen mengakui keputusan menarik diri ini merupakan satu keputusan berat yang diputuskan NOCC.

Ini kerana NOCC menghargai usaha keras Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Thailand (THASOC) dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand (NOCT).

Pada masa sama, NOCC turut memohon maaf jika keputusan mereka memberi kesan kepada temasya berkenaan dan menghargai sokongan dan kefahaman dua entiti berkenaan.

“Kami memohon maaf untuk sebarang kesulitan yang terjadi disebabkan pemergian awal ini dan amat menghargai sokongan kefahaman anda,” ujarnya.

Meskipun NOCC tidak menyatakan mengapa keputusan ini dibuat, ramai percaya ia ada kaitan dengan ketegangan membabitkan negara itu dan Thailand di sempadan kedua-dua negara.

Sebelum ini, Kemboja menarik diri daripada lapan acara Sukan SEA 2025 termasuk bola sepak. Alasan keselamatan dan faktor cuaca antara sebab yang dinyatakan susulan penarikan diri tersebut.