“Kena Percaya Statistik Lawan JDT” – Lim Chan Yew
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Lim Chan Yew melihat statistik gol awal memihak kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pandangan itu disuarakan beliau apabila diminta mengulas prestasi anak buah Xisco Munoaz dalam Liga Super setakat ini.

Chan Yew percaya selepas dibolosi tiga kali ketika menentang Negeri Sembilan FC pada Ogos lalu, JDT bukan saja tidak lagi bolos sejak itu dalam liga.

Malah, Harimau Selatan dilihat kerap melancarkan serangan untuk mendapatkan gol awal ke atas setiap lawan yang dihadapi mereka.

“Anda tak boleh dibolosi gol awal bila menentang JDT. Pasukan lain, mungkin mereka boleh datang.

“Tetapi kita kena lihat statistik, kita kena percaya dengan statistik. JDT sudah tak bolos sejak menentang Negeri Sembilan sampailah sekarang.

“Lima minit pertama anda dibolosi JDT, anda fikir anda boleh bangkit? Ianya sukar walaupun anda main di laman sendiri,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

JDT semakin sukar dicabar apabila menewaskan Terengganu FC 5-0. Hatrik Jairo da Silva membantu anak buah Munoz ceria di Kuala Terengganu.

Keputusan ini menyaksikan JDT terus bertakhta di persada liga dengan 27 mata, tujuh mata di hadapan KL City FC di tangga kedua.