Kenali Identiti Pemain Warisan Ke-8 Harimau Malaya
MakanBola
Haniff Che Mohamad/MakanBola

Harimau Malaya dijangka menerima sentuhan pemain warisan kelapan menjelang saingan CAFA Nations Cup 2025.

Skuad kendalian Peter Cklamovski cemerlang mengharungi kempen Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 apabila menundukkan Vietnam dengan keputusan 4-0.

Malaysia juga diperkuat dengan kehadiran dua tonggak warisan – Hector Hevel dan Gabriel Palmero pada Mac lalu sebelum lima lagi pemain tiba pada kem latihan pusat, Mei lalu.

Duo pertahanan tengah, Facundo Garces dan juga Jon Irazabala telah beraksi menentang Bintang Pahlawan Emas disusuli trio serangan – Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan juga Joao Figueiredo.

Laporan daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan bahawa Harimau Malaya bintang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Nacho Mendez bakal beraksi buat skuad kebangsaan.

“Dari Sepanyol ke Malaysia, Nacho Mendez secara rasminya adalah pemain warisan baharu kami yang ke-8,” ujarnya di laman X.

Pemain berusia 27 tahun itu juga difahamkan memiliki susur galur dari Penang yang membolehkannya beraksi buat pasukan negara.

“Difahamkan Nacho Mendez dalam proses akhir untuk dapatkan kerakyatan Malaysia sebagai pemain warisan negara sekaligus bakal beraksi untuk Piala CAFA. 

“Atuknya lahir di Penang,merupakan campuran Cuba,Sepanyol & Malaysia,” tambah laporan Zulhelmi.