Kenali Pengganti Segera Badrul Afzan Di Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Keputusan Terengganu merehatkan Badrul Afzan lantas diganti oleh seorang jurulatih yang dikenali.

Jodoh Badrul Afzan dan Terengganu dianggap telah berakhir setelah pihak pengurusan Sang Penyu mengambil keputusan untuk merehatkan jurulatih berusia 54 tahun itu serta-merta.

Lantaran itu, Terengganu dengan segera mengumumkan pengganti sementara yang akan menggalas tugas Badrul Afzan untuk membimbing pasukan bermula awal Januari nanti.

Tanggungjawab selaku pengendali sementara Terengganu akan digalas oleh penolong jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan sehingga pengumuman baharu daripada pihak kelab dikeluarkan.

“Sehubungan dengan keputusan tersebut, pihak kelab ingin mengumumkan bahawa Tengku Hazman Raja Hassan, selaku Penolong Jurulatih, telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih Interim sehingga pengumuman ketua jurulatih baharu secara rasmi.”

Nama Tengku Hazman Raja Hassan memang tidak asing lagi buat Terengganu setelah pengendali berusia 49 tahun sudah bersama pasukan di bangku kejurulatihan sejak tahun 2018 lagi.

Ujian sulung buat Tengku Hazman dan Terengganu adalah dalam aksi pertama bagi tahun 2026 berdepan Penang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 3 Januari hadapan.