Ketua jurulatih Melbourne City, Aurelio Vidmar tampak hairan dengan persoalan media bahawa JDT adalah kelab Malaysia.
JDT terbang ke Australia dengan misi untuk mengutip 3 mata dalam perlawanan ke-5 AFC Champions League Elite (ACLE) menentang Melbourne City berbekalkan rekod 13 aksi tanpa kalah.
Malah, JDT yang juga wakil tunggal Malaysia di pentas ACLE turut menarik perhatian peminat bola sepak Asia apabila kini berada di kedudukan kedua carta zon Timur dengan 7 mata selepas 4 aksi.
Ketika ditanya oleh wartawan mengenai cabaran berdepan pasukan dari Malaysia seperti JDT, Aurelio Vidmar sebagai jurulatih Melbourne City tidak pasti dengan persoalan yang diajukan.
Beliau sendiri kurang pasti sama ada JDT ini pasukan dari Malaysia atau pun tidak melihat kepada lambakan pemain asing yang berkualiti tinggi dalam skuad Harimau Selatan itu.
”Awak sebut (JDT) kelab Malaysia? saya tak pasti perkara itu tepat atau tidak, tetapi secara keseluruhan mereka diperkuat pemain asing yang bagus,” kata Aurelio Vidmar ketika sidang media semalam.
Bekas jurulatih BG Pathum dan Bangkok United itu meramal satu lagi aksi yang mencabar berdepan JDT namun percaya Melbourne City kini sudah bersedia berbekalkan pengalaman atasi wakil Jepun sebelum ini.
”Sudah tentu pemain seperti Arif Aiman yang menakjubkan dan bakal jadi (aksi yang) mencabar tapi semua perlawanan adalah sukar.”
”Kami sudah berdepan kelab Jepun yang diketahui sebagai lawan yang sangat kuat dan kami berhasil temui cara untuk beraksi cemerlang dan kalahkan mereka.”
”Ini yang paling penting dalam kejohanan ini (ACL Elite).”
Aksi Melbourne City vs JDT akan berlangsung pada Selasa dengan sepak mula perlawanan dijadualkan bermula tepat jam 3.45 petang ini di Melbourne Rectangular Stadium.