Sabah mengeluarkan sebuah kenyataan bagi menjelaskan isu sekatan FIFA yang tular baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook, pihak pengurusan tampil menjelaskan bahawa nama Sabah FC berada dalam sekatan perpindahan FIFA akibat isu bersama bekas pemain.
”Isu ini melibatkan seorang pemain yang telah tamat kontrak bersama Sabah FC,” jelas pihak pengurusan dalam sebuah kenyataan
Sabah FC dikatakan telah menjelaskan kesemua gaji pemain tersebut namun terdapat tuntuan tambahan daripada pihak berkenaan yang membuatkan penelitian semula terpaksa dilakukan.
Hasil penelitian, Sabah FC mendapati tuntutan tersebut telah pun dijelaskan ketika pemain tersebut masih menyarung jersi Sang Badak dan perkara ini hanyalah isu teknikal melibatkan kaedah pembayaran sahaja.
“Walaupun Sabah FC telah menyelesaikan semua gaji setelah kontrak tamat, namun pemain tersebut telah mengemukakan tuntutan tambahan.”
“Walau bagaimanapun, setelah meneliti jumlah yang dikemukakan, Sabah FC mendapati jumlah tersebut telah dibayar ketika beliau masih bersama kelab ini.”
“Terdapat isu teknikal berkenaan kaedah dan transaksi pembayaran.”
Akibat daripada laporan pemain tersebut, nama Sabah FC telah pun tersenarai dalam sekatan perpindahan oleh FIFA dan bayaran tambahan telah pun dilunaskan berdasarkan arahan badan induk itu.
“Namun begitu, beliau telah melaporkan kes tersebut ke FIFA dan atas sebab itu keputusan ini dikeluarkan oleh FIFA.
“Setelah mendapat maklumat berkenaan keputusan tersebut, Sabah FC telahpun melunaskan bayaran tambahan seperti yang diputuskan oleh FIFA.
Sabah ketika ini difahamkan perlu menunggu pembatalan larangan oleh pihak FIFA sekaligus merumuskan bahawa masalah yang timbul ini hanya isu teknikal dan melibatkan proses akauntabiliti.
“Selepas ini, pihak FIFA kemudian akan membatalkan larangan tersebut. Ini merupakan isu teknikal sahaja.
“Ini bukan soal tidak mahu atau tidak mampu membayar, tetapi ini adalah proses akauntabiliti yang diamalkan terutamanya perkara yang melibatkan kewangan.