“Keputusan JDT Tepat” – Matyo
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Norshahrul Idlan Talaha memuji tindakan pasukan untuk memanggil pemain sayap lincah, Manuel Hidalgo pulang ke pangkuan pasukan.

Pemain berusia 25 tahun itu telah dipinjamkan oleh JDT hampir dua musim kepada pasukan lain sebelum kini bakal menyarung jersi Harimau Selatan bagi musim 2025/26.

Beliau sempat beraksi hanya dua perlawanan bersama KL City sebelum pulang ke pangkuan kelab.

Menurut pemerhatian Matyo, keputusan yang diambil oleh juara bertahan Liga Siper ini amat tepat berdasarkan situasi semasa pasukan.

“Saya melihat ia keputusan yang tepat memanggil semula Hidalgo dari KL City. Ketika ini, terdapat beberapa pemain JDT yang mengalami kecederaan.

“Kepulangan Hidalgo ke JDT bakal menambah kekuatan serangan pasukan,” katanya kepada Astro Arena.

Matyo bagaimanapun mahu melihat proses untuk Hidalgo menyesuaikan diri bersama pasukan yang memiliki pemain berkualiti di Liga Malaysia.

“Saya cuma nak melihat bagaimana persembahannya kerana sebelum ini beliau beraksi bersama KL City dan Sri Pahang.

“Kini di JDT, beliau (Hidalgo) dikelilingi oleh pemain berkualiti, jadi kita lihat bagaimana beliau bakal membentuk persefahaman di sana,” tambahnya.

Hidalgo menjadi penambahan penting  dalam skuad JDT yang juga bakal beraksi di ACC Shopee Cup dan juga AFC Champions League musim ini.