Thailand menjadi destinasi Selangor mengharungi aksi pra-musim dengan 5 perlawanan telah ditempuh di sana.
Selangor tiba di Thailand dua minggu lalu dan telah mengatur aksi menentang kelab Thai League 1, Ratchaburi pada 9 Julai lalu namun terpaksa akur tewas tipis 1-0 kepada tuan rumah.
Jaringan awal daripada pemain import, Tana pada minit ke-18 memberi kemenangan buat Ratchaburi dan membuatkan Selangor membuka kempen pra-musim dengan kekalahan.
Aksi pra-musim diteruskan dengan pertemuan menentang Chonburi FC selang dua hari kemudian dan Selangor yang dilihat menguji barisan pemain berbeza tumbang buat kali kedua.
Dua gol daripada Adisak Kraisorn dan Tontowan Puntamunee memberikan kemenangan kepada juara Thai League 2 musim lalu itu meski Gergasi Merah meledak jaringan hasil sentuhan Willian Lira.
Kemenangan pertama berjaya diraih oleh pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi ini ketika menentang Bangkok FC pada 14 Julai dengan Selangor bangkit atasi lawan dengan keputusan 3-1.
Willian Lira, Faisal Halim dan bintang muda meningkat naik, Harry Danish melakar nama selaku penjaring buat Selangor tumpaskan kelab yang berpangkalan di ibu negara Thailand itu.
Rentak cemerlang itu bagaimanapun disekat oleh Kasetsart FC apabila kelab Thai League 2 tersebut mengikat Selangor 1-1 dalam aksi pra-musim ke-4 naib juara Liga Super musim lalu itu.
Penyerang Selangor, Chrigor Moraes mencetak gol pertama buat pasukan Gergasi Merah itu sebelum Kasetsart kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan Stevia Mikuni untuk skor terikat.
Aksi pra-musim terakhir Selangor di Thailand ditutup dengan kemenangan mengatasi Burapha United tatkala Harry Danish muncul wira pasukan hasil jaringan tunggal The Red Giants.
Secara keseluruhan, Selangor merekodkan dua kemenangan, satu keputusan seri serta dua kekalahan dalam semua 5 aksi pemanas badan menentang kelab-kelab di Liga Thailand ini.
Nama bintang muda Selangor, Harry Danish menjadi antara pemain yang menonjol dengan dua jaringan berjaya dicetak sekaligus menjadi sebutan para peminat menjelang musim akan datang.
Statistik 5 Aksi Pra-Musim Selangor Di Thailand
Menang: dua perlawanan.
Seri: satu perlawanan.
Kalah: dua perlawanan.
Jaringan: 6 gol.
Bolos: 5 gol.
Penjaring gol: Willian Lira dan Harry Danish (dua jaringan), Faisal Halim dan Chrigor Moraes (satu jaringan).