Ketiadaan Shahrul Saad Bersama Harimau Malaya Terjawab
MakanBola
Malaysia NT

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski tampil memperincikan punca ketiadaan benteng kental negara yang juga pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad, menjelang aksi kelima Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada Selasa.

Menurut jurulatih kelahiran Australia itu, Shahrul atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Badak’ terpaksa diketepikan daripada menyertai kem latihan skuad kebangsaan selepas mengalami kecederaan beberapa minggu lalu.

“Ya Badak telah mengalami kecederaan beberapa minggu lalu. Saya tak pasti tarikh beliau mengalami kecederaan tetapi ianya terjadi sebelum kem kebangsaan jadi beliau tidak dapat menyertai kem kali ini.

“Kami memang kehilangan beberapa pemain yanh sudah menyumbang kepada pasukan seperti sebelum ini. Tetapi ianya bukan tentang seorang pemain dan sesiapa yang beraksi (menentang Nepal), sebelas pemain di atas padang tahu apa yang perlu diakukan untuk bermain cara bola sepak kita,” jelas Cklamovski dalam sidang media pra-perlawanan.

Ketiadaan Shahrul Saad pastinya memberi cabaran kepada Peter Cklamovski dalam merangka benteng terbaik negara, namun beliau masih memiliki beberapa pilihan berkualiti untuk mengisi posisi pertahanan tengah tersebut. Antara nama yang berpotensi tampil mengisi kekosongan tersebut adalah Dominic Tan, Junior Eldstal, Ubaidullah Shamsul dan Harith Haiqal.

Selain itu, pemain seperti Declan Lambert, Dion Cools dan Matthew Davies juga mempunyai keupayaan untuk beraksi di posisi pertahanan tengah meskipun ia bukan posisi utama mereka sekali gus memberikan fleksibiliti tambahan dalam perancangan taktikal skuad negara.

Malaysia kini berada di kedudukan teratas Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 selepas mengutip 12 mata penuh hasil empat kemenangan sebelum ini, termasuk menewaskan Vietnam, Nepal dan Laos (dua kali).