Malaysia berpeluang untuk memiliki seorang lagi pemain warisan berbakat besar dari Eropah iaitu Edward Fox.
Tonggak berusia 17 tahun itu dikesan meniliki pertalian darah dengan Malaysia hasil perkongsian laman Harimau Abroad –laman pencari bakat pemain warisan negara di serata dunia.
Pemain versatil ini kini beraksi bersama di England bersama Peterborough United – salah satu kelab yang pernah diwakili oleh seorang lagi pemain warisan negara, Kobe Chong.
Beliau sebelum ini telah turun beraksi menentang Manchester United B-18 pada aksi pusingan ketiga FA Youth Cup 2025-26.
Edward dilaporkan memiliki pertalian darah dengan Malaysia melalui datuk neneknya yang berasal dari Ipoh, Perak sekali gus membolehkannya untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Pengarah Akademi, Dan Robinson berkata: “Ia sesuatu yang sangat membanggakan apabila melihat salah seorang pemain kami mencapai tahap ini dalam kerjayanya dengan menandatangani kontrak profesional.
“Eddie telah bersama kami sejak peringkat Bawah 13 tahun dan dia merupakan seorang pemain yang sentiasa bekerja keras, sama ada dalam mahupun luar padang.
Fox dilihat sebagai salah seorang pemain dalam perancangan jangka masa panjang Peterborough United.
“Selain mengikuti program biasiswa seperti biasa, dia juga sedang melengkapkan dua mata pelajaran A-Level, yang menjadi satu lagi bukti komitmen Eddie untuk menjadi versi terbaik dirinya.
“Kami menantikan untuk terus bekerjasama dengannya dalam beberapa tahun akan datang dan menyaksikan perkembangan beliau,” ujar Dan menerusi kenyatan kelab.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tentang peluang Edward Fox untuk mewakili Harimau Malaya.