Seorang lagi pemain Thailand bakal memperkuat cabaran Selangor FC untuk menghadapi musim 2025/26.
Pemain yang dimaksudkan ialah pemain bek kiri Port, Kevin Deeromram. Khabar angin tentang perpindahan pemain berusia 27 tahun itu dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Pemain kacukan Sweden-Thailand, Kevin Deeromram hampir pasti memperkuatkan Selangor FC bagi harungi saingan musim 2025/2026.
“Untuk rekod, pemain yang beraksi di posisi bek kiri itu pernah bantu skuad kebangsaan Thailand raih pingat emas Sukan SEA 2017,” katanya di X.
Sebelum ini, Kevin memberi bayangan di Instagram bahawa beliau sudah bersedia untuk cabaran baru. Ini selepas beliau mengesahkan akan meninggalkan Port.
Ini menjadikan saingan Piala Presiden 2025 di Indonesia sebagai aksi terakhir Kevin bersama Port. Beliau membantu Port muncul juara dengan mengalahkan kelab Liga Kejohanan, Oxford United.
Kevin dijangka menjadi aset Selangor apabila melancarkan serangan. Ini kerana berdasarkan semakan di Transfermarkt, beliau mengetuai senarai pencipta bantuan gol Thai League 1 dengan 11 bantuan gol.
Kevin mengatasi dua pemain hebat Thailand, Theerathon Bunmathan dan Chanathip Songkrasin dalam senarai itu. Theerathon dan Chanathip masing-masing merekodkan sembilan bantuan gol musim 2024/25.
Perpindahan ini menyaksikan Kevin akan menyertai rakan senegara dan bekas kapten Muangthong United, Picha Autra.
Selain Picha, Selangor turut merekrut Chrigor Moraes, Willian Lira dan Zach Clough. Merah Kuning turut memilih mengekalkan Noor Al-Rawabdeh, Mohammad Abualnadi, Alvin Fortes, Omid Musawi dan Richmond Ankrah.