Kevin Muscat Bakal Latih Kelab Scotland?
MakanBola
Shanghai Port FC

Johor Darul Ta’zim (JDT) berpotensi tidak berdepan jurulatih Shanghai Port, Kevin Muscat dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada 9 Disember ini.

Ini kerana akhbar Daily Record melaporkan jurulatih Australia itu telah mencapai persetujuan untuk menggalas tugas sebagai jurulatih baharu kelab Scotland, Rangers.

Rangers kini berusaha memuktamadkan perjanjian pampasan dengan Shanghai Port. Pampasan dijangka mencecah tujuh angka memandangkan Muscat memiliki baki kontrak setahun dengan kelab China itu.

Rangers bersedia menunggu sehingga tamat musim Chinese Super League (CSL) pada November ini sebelum mengumumkan pelantikan beliau.

Muscat dan Shanghai Port ketika ini mengetuai pemburuan kejuaraan liga dengan baki tiga perlawanan. Shanghai Port mendahului dengan 60 mata, dua mata di hadapan lawan JDT seterusnya dalam ACLE, Chengdu Rongcheng.

Sekiranya kelab China itu bergelar juara liga, Muscat berpeluang mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong dalam salah satu daripada dua perlawanan.

Muscat berpeluang melakukannya dalam aksi terakhir liga pada 22 November atau aksi ACLE menentang FC Tokyo pada 25 November.

Seandainya perkara itu berlaku, JDT bakal menjadi lawan pertama jurulatih baharu yang dipilih Shanghai Port sebagai pengganti Muscat dalam saingan ACLE.

Ini bukan kali pertama jurulatih Australia itu berkelana di Eropah. Sebelum ini, Muscat pernah melatih kelab Belgium, Sint-Truiden tetapi hanya bertahan selama enam bulan.