Legenda MMA terkenal dari Russia, Khabib Nurmagomedov berkesempatan mengadakan lawatan ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Lawatan legenda UFC itu diumumkan pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi satu kenyataan di Johor Southern Tigers (JST).
“Khabib Nurmagomedov, bekas Juara Dunia UFC Kategori Lightweight yang juga merupakan Duta Sukan Johor telah mengunjungi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari ini, 18 November 2025,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Legenda berusia 37 tahun itu diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia dan Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Pengarah Teknikal, Alistair Edwards.
Turut sama menyertai lawatan itu ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohd Ekmaluddin Ishak.
Khabib bukan saja dibawa melihat kawasan padang dan bilik persalinan di SSI. Malah, beliau turut dibawa melawat JDT Direct iaitu kedai yang menjual cenderamata eksklusif JDT.
Khabib turut dibawa melihat Ibu Pejabat JDT. Kehadiran beliau di Johor dilihat ada kaitan dengan pengumuman Belanjawan Johor 2026 yang dibuat Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
Onn mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk membina Khabib Gym baru-baru ini. Ini sekaligus merealisasikan kerjasama beliau dan MSNJ.
Majlis pecah tanah Johor Khabib Gym bakal diadakan di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri hari ini.