Khairy Jamaluddin Gesa Biar Proses Rayuan FAM Berjalan
MakanBola
Astro Arena

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggesa penyokong agar memberi ruang kepada FAM mengemukakan rayuan kepada FIFA terlebih dahulu.

Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat komen sesetengah penyokong di media sosial berkenaan isu FAM dan tujuh pemain warisan negara dihukum baru-baru ini.

Khairy yang juga bekas Timbalan Presiden FAM mengakui peminat bola sepak negara berhak merasa marah atas apa yang berlaku.

Pada masa sama, beliau turut menggesa peminat untuk tidak membuat kesimpulan terlebih dahulu sementara FAM memfailkan rayuan kepada FIFA berhubung perkara itu.

“Dan yang sedih itu ialah saya faham, orang minta ketelusan. Saya tak ada masalah, saya setuju kita perlu ada ketelusan.

“Sedangkan kalau tak nak sokong rayuan FAM pun atas semangat kenegaraan dan semangat sokong Harimau Malaya. Tapi sekurang-kurangnya, tunggulah sehingga rayuan selesai.

“Saya setuju ia memalukan, memang kita marah. Tapi sebelum rayuan itu selesai, kenapa kita sudah buat rumusan kita? Kenapa kita sudah buat kesimpulan?” katanya dalam episod terbaru program audio siar Keluar Sekejap.

FAM diberi tempoh 10 hari oleh FIFA untuk mengemukakan rayuan untuk kes mereka.