Selepas berehat hampir dua bulan akibat kecederaan ligamen medial kolateral (MCL), Khuzaimi Piee kembali perkuat benteng Negeri Sembilan.
Khuzaimi yang mesra disapa Jimmy terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan MCL dalam aksi pramusim Negeri Sembilan.
Kecederaan tersebut menyebabkan beliau terpaksa menunggu untuk membuat penampilan pertama bersama Negeri Sembilan untuk musim 2025/26.
Penantian itu berakhir dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA antara Sang Rusa dan PDRM FC pada 12 September lalu.
Khuzaimi masuk menggantikan Zainal Abidin Jamil pada separuh masa kedua. Beliau turut memakai lilitan kapten Negeri Sembilan untuk baki perlawanan tersebut.
Khuzaimi mengakui bersyukur dapat kembali beraksi selepas terpaksa berehat akibat kecederaan. Justeru, beliau berharap dapat meraih kembali momentum perlawanan untuk memacu Negeri Sembilan ke kedudukan terbaik liga.
“Pertama sekali, saya ucap syukur alhamdulillah kepada diri saya selepas dapat kembali kepada pasukan selepas saya (berehat) sebulan lebih akibat kecederaan. Dan banyak lagi saya nak kejar dengan pasukan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Saya harap dengan dorongan rakan-rakan dan barisan kejurulatihan semua, kita dapat bersama-sama buat pasukan yang lebih baik dan bawa ke tahap seterusnya untuk penyokong, pemain dan pengurusan Negeri Sembilan.”
Khuzaimi kembali bersama Sang Rusa selepas dua musim berkelana ke pasukan naib juara Liga Super, Selangor FC.