Kim Pan-gon Tidak Akan Ke Selangor
MakanBola
Ulsan HD FC

Bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dilaporkan tidak akan berkelana ke Selangor FC.

Sebelum ini, nama jurulatih Korea Selatan itu dicanang antara calon jurulatih baharu The Red Giants.

Ini selepas Selangor memilih melepaskan jurulatih Jepun, Katsuhito Kinoshi. Bekas jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel dilantik sebagai jurulatih interim.

Kini, wartawan Astro Arena, Fina Nasrom memaklumkan Pan-gon tidak akan mengambil alih pasukan gergasi Lembah Klang itu.

Ini kerana bekas jurulatih Ulsan HD itu enggan mengambil risiko dan merasakan ini bukan masa sesuai untuk kembali ke Malaysia.

“Kim Pan Gon ke Selangor? Tidak. Keadaan semasa menghalang bekas jurulatih negara ini ambil risiko,” katanya di X.

ini turut disumbang dengan keputusan pengurusan Selangor yang memilih tidak mencari pengganti Kinoshi buat masa ini.

Ini kerana fokus pasukan itu ialah memberi sokongan kepada Gamel dalam menghadapi jadual padat musim ini.

“Kita memberi sokongan penuh kepada Coach Gamel dalam persiapan pasukan utama dalam setiap perlawanan. Kita tak fikir sangat (pencarian jurulatih tetap baharu).

“Kita berpuas hati dengan proses dan perubahan yang beliau lakukan. Dan kita lihat pemain rata-ratanya mengikuti taktikal yang dibawa Coach Gamel.

“Jadi, pada masa ini, kita memberi ruang dan masa kepada pemain dan jurulatih mengikuti hala tuju yang dibawa Coach Gamel. Jadi, itu fokus kita buat masa ini,” kata CEO pasukan, Dr Johan Kamal Hamidon.

Selangor kini mengalihkan fokus kepada aksi ACL2 menentang Persib Bandung pada 6 November ini.