Kemenangan 3-0 ke atas Imigresen FC dalam aksi pembukaan Liga Super pada 9 Ogos lalu dilihat cukup bermakna buat KL City FC.
Ini kerana ini kali pertama pasukan Lembah Klang itu meraih kemenangan dalam aksi pertama liga dalam tempoh 26 tahun.
Anekdot menarik ini dikongsikan wartawan sukan, Devinder Singh menerusi satu hantaran di X. Kali terakhir KL City meraih kemenangan dalam aksi sulung liga ialah musim 1999.
KL City yang ketika itu dibimbing Mat Zan Mat Aris meraih kemenangan 4-3 ke atas Brunei pada 20 Mac 1999.
“Akhirnya kita berjaya! Kuala Lumpur menewaskan Imigresen 3-0 untuk memenangi aksi pembukaan liga buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun,” katanya.
Aksi di Stadium Batu Kawan menyaksikan KL City meraih kemenangan menerusi gol sendiri Rizal Ghazali, Safawi Rasid dan Manuel Hidalgo.
The Mighty Tigers turut mendapat dua sepakan penalti dalam perlawanan tersebut. Malangnya, kedua-dua sepakan penalti Imigresen dinafikan penjaga gol The City Boys, Quincy Kammeraad.
Selepas ini, KL City akan menentang Sabah FC untuk aksi kedua liga pada 13 Ogos ini.