Pemain muda Malaysia, Kobe Chong kembali beraksi selepas berehat selama setahun akibat kecederaan tendon Achilles.
Sebelum ini, bekas pemain Peterborough United itu dilaporkan fokus menjalani proses pemulihan bersama jurulatih skuad utama Alvechurch, Steve Hensel dan ketua terapi sukan kelab itu, Dan Hines.
Sekiranya proses pemulihan Kobe berjalan lancar, beliau dijangka akan kembali beraksi pada September ini.
Kini, Harimau Abroad melaporkan bekas pemain West Brom itu sudah cergas sepenuhnya. Beliau kini beraksi dengan kelab lamanya, St. Ives Town.
Menariknya, Kobe sudah meledakkan gol pertama beliau musim ini dalam aksi Southern League Premier Division Central antara St. Ives Town dan Barwell baru-baru ini.
Gol beliau tidak cukup untuk menghalang pasukan itu daripada tewas 3-2 kepada Barwell. Keputusan ini menyaksikan St. Ives Town kekal di hadapan Barwell di tangga kesembilan liga dari segi kelebihan gol.
Selain West Brom, St. Ives Town, Peterborough dan Alvechurch, beliau juga pernah beraksi untuk King’s Lynn, Kettering Town, AFC Telford, Barwell dan Cagliari.