Korea Open: Korea Open: Tang Jie-Ee Wei Muncul Juara, Raih RM140,000
UltraSukan

Beregu campuran utama Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei muncul juara di pentas final Korea Open 2024.

Ini selepas beregu nombor sembilan dunia itu menewaskan regu China, Guo Xin Wa dan Li Qian dalam aksi final yang menghiburkan di Stadium Tertutup Mokpo.

Selepas menewaskan regu China, Cheng Xing-Zhang Chi di peringkat separuh akhir, Tang Jie-Ee Wei berharap dapat meraih kejuaraan jelajah Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) pertama untuk tahun 2024.

Ini selepas mereka sebelum ini bergelar naib juara Thailand Masters 2024 dan Swiss Open 2024. Meskipun dilabel regu pilihan, Xin Wa memiliki sedikit kelebihan ke atas Tang Jie-Ee Wei kerana pernah menewaskan mereka bersama regu sebelumnya, Wei Ya Xin.

Set pertama menyaksikan permainan agresif yang dipamerkan regu China di atas gelanggang menyebabkan mereka mendahului pada kedudukan 9-4.

Meskipun cuba diberi tentangan sengit oleh regu negara, Xin Wa-Li Qian kekal unggul sebelum menang dengan keputusan 21-17.

Set kedua menyaksikan Tang Jie-Ee Wei kembali bangkit. Beberapa kesilapan yang dilakukan Xin Wa-Li Qian menyebabkan mereka mendahului pada kedudukan 16-8.

Kelebihan itu terus dipertahankan Tang Jie-Ee Wei sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-13. Ini memaksa perlawanan diheret ke set penentuan.

Set penentuan menyaksikan Tang Jie-Ee Wei meneruskan corak permainan mantap ke atas Xin Wa-Li Qian. Pada satu ketika, mereka mendahului pada kedudukan 12-6.

Meskipun cuba dicabar regu China, beregu nombor sembilan dunia itu tetap unggul sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-13.

Kejayaan bergelar juara menyaksikan Tang Jie-Ee Wei meraih hadiah kemenangan AS$33,180 (RM141,000). Sementara Xin Wa-Li Qian pula meraih hadiah naib juara bernilai AS$15,960 (RM68,000).

Kejayaan ini dijangka membakar semangat regu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah untuk menghadapi aksi final Korea Open 2024 untuk acara regu wanita.