Kronos Terus Kukuh Penajaan Pengadil Bersama FAM Hingga 2027
MakanBola
FA Malaysia

Kronos, jenama pakaian sukan Malaysia terus kukuh dalam penajaan pengadil bersama FAM hingga 2027.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kronos Malaysia hari ini menandatangani pembaharuan perjanjian penajaan bagi tempoh tiga tahun bermula 2025 sehingga 2027.

Sekali gus meneruskan lagi kerjasama yang telah terjalin sejak 2019 dengan jenama sukan itu sebagai penaja rasmi pakaian pengadil kebangsaan.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman dan Pengurus Besar Paragon Vest Sdn Bhd, Encik Vincent Lai Wai Onn pada petang ini.

Jersi baharu pengadil bagi saingan Liga Malaysia 2025-2026 turut dipertontonkan dan dilancarkan pada majlis berkenaan yang berlangsung di Hotel Concorde Shah Alam.

Jersi itu tampil dengan dua warna baharu diperkenalkan bagi memberikan pembaharuan imej kepada semua pengadil.

Jersi ini direka khas menggunakan material teknologi ringan dan bernafas, dengan potongan ergonomik yang memberi keselesaan dan meningkatkan prestasi ketika bertugas di padang.

Exco FAM, Datuk Haji Mohd Hisamudin Yahaya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM berkata, lanjutan kerjasama yang terjalin ini menjadi simbol komitmen FAM dan Kronos Malaysia untuk terus membangunkan ekosistem bola sepak yang lebih profesional.

“Kesinambungan komitmen daripada pihak Kronos Malaysia bukan sahaja membuktikan kepercayaan mereka terhadap pembangunan bola sepak terutamanya bahagian kepengadilan, malah menjadi bukti nyata bahawa kerjasama strategik yang berlandaskan kepercayaan dan matlamat bersama mampu memberikan impak yang berpanjangan sehingga peringkat antarabangsa,” – kata Exco FAM.