Kualiti JDT Bakal Paksa Bangkok United Ubah Taktik
MakanBola
True Bangkok United

Pengendali Bangkok United, Totchtawan Sripan mengakui tidak gentar dengan kualiti lawan mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi kedua Kumpulan B Shopee Cup.

Perkara itu dizahirkan beliau apabila ditanya sama ada beliau akan menggunakan taktik sama ketika menentang Buriram United untuk aksi ini atau sebaliknya.

Totchtawan sedar dengan kualiti yang dimiliki ramai pemain Harimau Selatan, itu akan memaksa Bangkok United beraksi dengan cara berbeza.

Meskipun sedar dengan cabaran yang bakal dihadapi anak buahnya, Totchtawan percaya mereka dapat mengekang JDT menerusi pelan permainan yang telah dirancang.

“Sudah tentu semua pasukan ada identiti dan perwatakan tersendiri. JDT ialah satu pasukan besar dan hebat. Bagi kita, kita akan cuba bermain mengikut ciri (perancangan) utama, kekal dengan pelan dan cara kita bermain.

“Tapi dengan kualiti pemain JDT semasa dalam permainan, mereka pasti akan paksa kita bermain dengan cara berbeza. Walau apa pun, kita akan kekal dengan pendekatan kita,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Ini kali kedua Bangkok United menentang pasukan Malaysia untuk musim 2025/26. Sebelum ini, mereka turun menentang Selangor FC dalam aksi pertama Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Bangkok United berharap dapat mengulangi kejayaan menewaskan Selangor bila menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 25 September.